KASIH SEORANG
IBU
“Allah Hu Akhbar... Allah Hu Akhbar”. Kedengaran sayup
suara laungan azan pak bilal memecah keheningan subuh di kampung selasih. Suara
azan yang menyeru umat islam menunaikan sembahyang tanda taatnya seorang hamba
kepada sang penciptanya yang maha agung lagi maha berkuasa. Sedang yang lain
berpusu ke masjid menunaikan solat subuh, masih terbujur kaku seorang hamba
allah yang tengah dibuai mimpi indah. Tiba-tiba kedengaran pintu diketuk. “Amir
bangun nak pergi solat subuh ke masjid” pinta sang ibu kepada anaknya. Namun
suara itu tidak diendahkannya, tetap ia berdegil untuk bangun malah menutupi
badanya dengan selimut lantas tidur kembali.
Begitulah kehidupan seorang remaja belasan tahun yang
sangat liat mengerjakan suruhan allah. Amir merupakan anak tunggal kepada mak
Minah seorang peniaga di kampung selasih. Mak minah telah banyak kali
menasihati anaknya agar menunaikan solat akan tetapi kata-kata itu langsung
tidak dipedulikan olehnya. Amir merupakan seorang pelajar yang pintar namun
agak nakal dan kelakuanya yang agak kurang sopan ketika di sekolah. Kelakuanya
ini amat kurang disegani oleh teman-temannya yang lain.
Pada suatu hari, sedang semua pelajar lain menghadiri
kelas penilaian fardhu ain hanya amir sahaja yang tidak kelihatan. Hal ini
telah menimbulkan kemarahan ustaz Zaki yang merupakan guru agama di sekolahnya.
Selesai sahaja kelas itu, ustaz Zaki terus bergegas pergi menemui Amir di
kelasnya. Melihat wajah bengis ustaz Zaki, seperti cacing kepanasan begitulah
wajah Amir pada waktu itu dek rasa takut terhadap ustaz Zaki. Lantas Amir di
bawa masuk ke bilik ustaz Zaki. “kamu tahukah apa yang kamu buat ini salah?”
tanya ustaz Zaki kepada Amir. “Tahu ustaz, memang apa yang saya buat ini salah”
jawab amir ketakutan. “kenapa kamu tidak masuk kelas saya tadi” tanya ustaz
Zaki lagi. “saya bukan tidak mahu datang ustaz tapi saya tidak tahu apa-apa pun
tentang solat itu sebab saya tidak datang tadi” jawab amir kepada ustaz Zaki.
Ustaz Zaki agak terkejut dengan jawapan Amir itu. Mustahil budak yang sudah
berumur 17 tahun masih tidak tahu tentang solat. Pada hari itu Amir dilepaskan
oleh ustaz Zaki dengan amaran sekiranya dia mengulanginya lagi, ustaz Zaki akan
melaporkanya kepada pengetua.
Amaran yang diberikan oleh ustaz Zaki betul-betul membuat
Zaki takut. “kalau kamu mengulangi
kesalahan kamu lagi, kamu bakal berdepan dengan pengetua”. Itulah kata-kata
amaran yang membuatkan Amir tidak senang duduk. Dia memikirkan banyak cara
bagaimana nak menyelesaikan masalah yang dihadapinya ini. Setelah puas berfikir
Amir pun telah membuat keputusan untuk mempelajari penilaian asas fardhu ain
dengan bersungguh-sungguh. Namun demikian, niat amir mempelajarinya hanyalah
untuk lepas dari ustaz Zaki sahaja. Dia lebih takut kepada manusia berbanding
sang pencipta yang telah mencipta kewujudannya di muka bumi ini. Dengan
kecerdikannya dalam masa yang singkat sahaja amir telah berjaya untuk menghafal
dan menguasai semua penilaian itu. Keadaan ini membuatkan Amir tidak takut lagi
untuk masuk ke kelas ustaz Zaki. Perubahan dalam diri Amir membuatkan ustaz
Zaki terkejut disamping timbul rasa bangga terhadap anak muridnya itu. Ustaz
Zaki gembira dengan perubahan dalam diri
Amir itu. Sedangkan dia tidak mengetahui bahawa anak muridnya itu berubah
kerana takut kepadanya bukan kerana takut kepada allah.
Sejak hari itu bermulalah lakonan Amir yang berlagak baik
dan warak di depan semua guru dan rakan-rakannya. Sedangkan pada hakikatnya dia
hanya berlakon memainkan watak baik di depan semua orang tetapi apabila berada
di rumahnya keluarlah dirinya yang sebenar. Amir yang liat tentang agama dan
kurang sopan terhadap ibunya. Amir begitu bangga dan senang dengan segala
kepandaian yang dimilikinya. Sehinggakan dia lupa bahawa itu semua hanyalah
pinjaman dari allah S.W.T. Dia menggunakan kepandainya untuk menipu orang dan
mempersenda agamanya sendiri. Dia sendiri mengetahui bahawa orang-orang yang
meninggalkan solat itu pasti tempatnya di neraka namun semua itu tidak mampu
merubah dirinya. Dia tetap juga liat untuk menunaikan perintah allah.
Kedengaran sayup azan berkumandang di masjid menandakan
masuknya waktu asar di kampung selasih. Namun panggilan ilahi itu langsung
tidak dipedulikannya. Amir masih sibuk melayan rancangan televisyen kegemarannya.
Kebetulan mak minah baru pulang dari berniaga di pasar. Melihat kelakuan
anaknya itu mak minah lantas memarahi Amir. “kamu tak dengar kah azan di masjid
tu Amir? Kenapa kamu tak pergi solat?” marah mak minah pada Amir. “awal lagi ni
mak lagipun Amir tengah tonton tv ni”. Jawab Amir pada mak minah. Mak minah
tidak tahu nak berbuat apa lagi dengan anaknya itu, sudah puas dinasihatinya
namun tidak berubah juga. Mak minah berlalu pergi masuk ke kamarnya dengan rasa
sebak dan hampa dengan kelakuan anaknya itu.
Mak minah mencapai kain sembahyangnya untuk menunaikan
solat asar pada petang itu. Kelihatan air matanya bercucuran jatuh membasahi
pipinya. Mak minah tidak dapat menahan sebak dek kerana sikap anaknya itu. Selesai
solat mak minah seraya berdoa memohon petunjuk dan kekuatan baginya untuk
menjaga anaknya Amir. Mak minah bangkit dari tempat sujudnya lalu keluar pergi
ke dapur. Dilihatnya anaknya Amir masih lagi sibuk dengan urusan dunianya.
Tidak lama kemudian Amir keluar dengan basikalnya menuju ke hulu sungai untuk
mandi sungai. Sedang dia mengayuh basikalnya kedengaran suara pak Ayub
menyapanya dari belakang. “kamu nak ke mana Amir?”. “oh pak Ayub. Saya nak ke
hulu sungai pak Ayub nak mandi sungai” jawab Amir pada pak Ayub. “malam ni kamu
datang masjid ya Amir, ada majlis membaca Al-Quran dan ceramah agama” pinta pak
Ayub pada Amir. “insyaa allah pak Ayub” jawab Amir selamba. Lalu Amir berlalu
meneruskan perjalananya menuju ke hulu sungai. Air sungai yang jernih dan
nyaman itu membuatkan Amir leka sehinggakan dia tidak menyedari bahawa hari
sudah senja.
Melihat langit sudah mula menghitam lantas Amir pun
mengayuh basikalnya untuk balik ke rumah. Dalam perjalanannya pulang dia
melintasi kawasan masjid. Dia melihat begitu ramai orang-orang tua dan
anak-anak muda yang memenuhi ruangan masjid. Baru dia teringat pesan pak Ayub
itu tadi bahawa malam ni ada majlis bacaan Al-Quran dan ceramah agama akan
diadakan. Sungguh kecintaannya terhadap dunia membawanya jauh dari cinta allah.
Dia langsung tidak merasa rugi terlepas peluang pergi menghadiri majlis agama itu.
Setibanya di rumah dilihatnya mak minah sedang menunaikan solat isyak. Dia
hanya memerhati ibunya solat sedang dia menunggu ibunya untuk sama-sama makan
malam.
Selesai sahaja mak minah menunaikan solat isyak dia terus
menuju ke dapur. Dia melihat anaknya sedang duduk di dapur menantinya untuk
sama-sama makan malam bersamanya. “bila Amir sampai?” sapa mak minah pada Amir.
“dah lama mak tadi lagi” jawab Amir. Mak minah memasak makanan kegemaran Amir
malam itu iaitu ikan siakap masak cili api. Berselera Amir makan sambil
gelagatnya diperhatikan mak minah. Sejahat-jahat mahupun seburuk-buruk perangai
anak itu, ibu mana yang tidak sayangkan anaknya. Melihat anaknya Amir yang
sedang menjamah makanan yang dimasaknya itu air mata mak minah berderai
membasahi pipinya.
Menyedari kejadian itu Amir berasa terkejut dengan
keadaan ibunya yang sedang menangis itu. “kenapa ibu menangis?” tanya Amir pada
mak minah. “Amir, ibu dah tua nak. Bila-bila masa ibu bakal pergi meninggalkan
kau. Ibu teringin sangat nak melihat engkau berubah, solat dan menjadi anak
kebanggaan ibu” jawab mak minah penuh hiba. Melihat keadaan mak minah itu hati
Amir tersentuh. Dia menahan kesedihannya lantas bangun meninggalkan mak minah
yang tengah menangis sendirian di dapur. Malam itu Amir tidak dapat melelapkan
matanya. Kata-kata ibunya terngiang-ngiang di fikirannya. Dia tidak dapat
melupakan kata-kata ibunya yang telah membuatkan hatinya tersentuh. Dalam
kecelaruan itu Amir terlelap dibuai mimpi. Keesokan paginya Amir bangun bersiap
untuk pergi ke sekolah seperti biasa. Amir menuju ke dapur sambil
memanggil-manggil nama ibunya. Namun tiada sahutan diterimanya kerana awal-awal
pagi lagi mak minah sudah pergi ke pasar untuk berniaga.
Dia melihat sarapan pagi sudah sedia terhidang di atas
meja yang dimasak oleh mak minah sebelum dia pergi ke pasar. Di sisi meja mak
minah menyediakan sejumlah wang sebagai bekalan untuk Amir ke sekolah. Setelah
kematian suaminya mak minahlah yang menyara kehidupan mereka dua beranak. Mak
minah membanting tulang demi memastikan anaknya mendapat pendidikan yang
secukupnya. Amir ke sekolah dengan mengayuh basikal. Kedengaran loceng berbunyi
menandakan bermulanya proses pembelajaran
di sekolahnya. Amir masuk ke kelas meneruskan pengajiannya seperti
hari-hari biasa. Pada hari itu cikgu Salina meminta pelajar-pelajarnya agar
membayar yuran seminar persediaan untuk SPM sebanyak RM50. Amir pulang ke rumah
seperti biasa pada hari itu. Dia tidak terus ke rumah, dia berhasrat untuk
pergi berjumpa ibunya di pasar. Dilihatnya dari jauh redup wajah ibunya yang
tengah gigih membanting tulang menjual hasil jualanya. Dihampirinya
perlahan-perlahan ibunya yang tengah sibuk mengatur hasil jualannya. “ibu Amir
nak 50 ringgit nak bayar yuran seminar” seru Amir pada mak minah. Mak minah
terkejut mendengar suara anaknya itu. Mak minah membalasnya dengan senyuman lalu
menghulurkan 50 ringgit kepada Amir. “nah 50 ringgit nak. Pergilah balik rumah
dulu mak dah sediakan makanan tengah hari untuk Amir tu”. Amir mengapai 50
ringgit yang dihulurkan oleh mak minah lalu bergegas pulang ke rumah tanpa
berterima kasih pada ibunya. Sebak hati mak minah dengan kelakuan anaknya itu.
Namun dikuatkan hatinya kerana sayangnya terhadap anaknya itu.
Sampai saja di rumah Amir bergegas ke dapur untuk makan
kerana lapar yang amat sangat dirasainya. Selesai saja makan Amir masuk ke
dalam biliknya lantas berbaring di atas katilnya. Kerana letih yang amat sangat
Amir terlelap di sisi katilnya. Jam sudah menunjukkan 8 malam namun mak minah
belum sampai-sampai lagi ke rumahnya. Amir masih terlelap. Beberapa minit
kemudian mak minah sampai ke rumah. Dilihatnya rumah kelihatan sunyi. Dia
memang menjangka bahawa anaknya sudah tidur. Dia pun pergi ke bilik anaknya
Amir. Dilihatnya Amir sudah tidur. Mak minah menghampiri anaknya lalu
dilihatnya dalam-dalam wajah anaknya yang sangat disayanginya ini. Lamunannya
menjangkau masa silamnya ketika Amir masih kecil lagi. Wajah girang Amir yang
suatu ketika dulu dibelai dan dimanja-manja kini sudah beransur dewasa seiring
masa. Perubahan dalam hidup anaknya ini disebabkan rasa sunyi yang menyelubungi
hidupnya kerana kehilangan ayahnya sejak berumur 5 tahun lagi. Ini menyebabkan
Amir kurang mendapat kasih seorang ayah dan perhatian dari seorang ayah seperti
kanak-kanak yang lain. Mak minah mengucup dahi anaknya itu sebelum meninggalkan
bilik Amir. Terasa sudah agak lama dia tidak mengucup dahi anaknya.
Mak minah masuk ke biliknya mengenang kisah hidupnya
ketika arwah suaminya masih hidup lagi. Kenangan indah bersama suaminya
amat-amat payah untuk dilupakan. Mak minah berbaring di sisi katilnya menahan
rasa penat dan kesakitan kerana penat sehari membanting tulang mencari rezeki.
Matanya terlelap dalam keheningan malam itu. Azan berkumandang menandakan
masuknya waktu subuh di kampung selasih. Mak minah bangkit dari tidurnya untuk
menunaikan solat subuh. Dilihatnya anaknya masih belum bangun lagi. Selesai
solat mak minah memasak sarapan pagi untuk anaknya Amir sebelum pergi ke pasar
berniaga. “Ibu”. Kedengaran suara Amir memanggil mak minah memecah kesunyian
pagi itu. Dilihatnya Amir sedang menghampirinya. “awal Amir bangun pagi ni,
Amir mimpi indah ke?” gurau mak minah pada anaknya. Amir tersenyum dengan
gurauan ibunya itu. Ternyata doa mak minah telah dikabulkan, Amir yang dulunya
dingin terhadapnya telah berubah sama sekali. Amir meminta maaf atas semua
kesalahan serta sikap kurang ajarnya selama ini. Mendengar semua itu mak minah
mengalirkan air mata kesyukuran. Buat pertama kalinya pada pagi itu mak minah
melihat Amir solat subuh. Hati mak minah terasa girang sekali. Pagi itu menjadi
saksi perubahan diri Amir di atas doa seorang ibu yang sangat menyayangi
anaknya.
Sebulan kemudian bermulanya peperiksaan SPM. “jawab
baik-baik ya nak, mak doakan Amir mendapat keputusan yang cemerlang” mak minah
memberi semangat pada anaknya. “baiklah mak, Amir janji Amir akan hadiahkan mak
keputusan yang cemerlang dari Amir” balas Amir pada ibunya. Mendengar kata-kata
yang penuh semangat dari anaknya itu membuatkan mak minah berasa sangat
gembira. Hati Amir terasa sangat tenang ketika menjawab soalan-soalan SPM
berkat doa dari ibunya. SPM telah berlalu, Amir kini membantu ibunya berniaga
di pasar sementara menunggu keputusan SPM diumumkan. Mak minah sungguh gembira
kerana Amir dapat membantunya berniaga di pasar. Sedang Amir sibuk melayan
pelanggannya, tiba-tiba mak minah pengsan di pasar itu. Takutnya hati Amir
bukan kepalang. Dengan bantuan dari rakan-rakan peniaga mak minah akhirnya mak
minah dapat di bawa ke hospital. Amir sangat-sangat berterima kasih pada mereka
semua kerana telah membantunya membawa ibunya ke hospital. Mak minah disahkan
menghidap kanser oleh doktor. Amir amat terkejut dengan kenyataan doktor itu.
“mak kamu sedang menderita kanser pada tahap ketiga. Jika tidak dilakukan
pembedahan secepat mungkin mak kamu tidak akan dapat hidup lama lagi” kata
doktor kepada Amir. “berapa kos pembedahan itu doktor?” tanya Amir penuh
kerisauan. “lebih kurang RM 15 ribu” jawab doktor itu lagi. Keluh lidah Amir
mendengar kata-kata doktor itu. Hanya air mata yang membasahi pipinya mendengar
kenyataan pahit itu. Amir tidak sanggup lagi kehilangan ibunya seperti mana dia
kehilangan ayahnya dulu.
Amir pergi berjumpa ibunya di wad kecemasan. Berat hati
Amir mengkhabarkan berita itu. namun Amir terpaksa memberitahu ibunya.
Mendengar penjelasan Amir, mak minah minta di bawa pulang ke rumah. Mak minah
berkeras kerana dia tidak mampu untuk membayar kos pembedahan itu. Sejak hari
itu Amir hanya seorang diri mencari rezeki untuk keluarga mereka kerana mak
minah sudah tidak larat lagi untuk berjalan. Amir menjaga makan minum mak minah
dan mengurus keperluan sehari-hari mak minah. Amir terpaksa bekerja dengan
lebih keras kerana untuk menampung kos perubatan mak minah. Ketika Amir keluar
kerja, ada jiran mereka yang sudi menghulurkan bantuan untuk menjaga mak minah.
Kadang-kadang Amir terpaksa balik sampai lewat malam kerana terpaksa bekerja
lebih masa menjual di pasar. Walaupun kepenatan tetapi keperluan mak minah
menjadi keutamaan baginya.
Tiba hari yang dinanti-nanti. Akhirnya keputusan SPM
telahpun diumumkan. Pagi-pagi lagi Amir mengayuh basikalnya menuju ke sekolah
untuk mengambil keputusan SPM nya. Debaran semakin memuncak di dada Amir ketika
dia melangkah masuk ke sekolah itu. Alangkah gembiranya hati Amir apabila
melihat slip SPM nya semuanya mendapat gred A. Kesyukurannya terhadap allah tidak
terbatas. Guru-guru dan rakan-rakannya yang lain mengucapkan tahniah kepadanya.
Dia diangkat sebagai pelajar cemerlang sekolah itu. Amir tidak sabar untuk
balik ke rumah untuk memperlihatkan
kejayaanya itu kepada ibunya. Dia mengayuh basikal penuh semangat menuju ke
rumahnya. Setibanya di halaman rumahnya dia melihat ramai orang mengunjungi
rumahnya. Hatinya mula merasa sesuatu yang tidak baik berlaku. Fikirannya
tertumpu kepada ibunya. Amir tidak dapat menahan langkahnya lagi, dia berlari
menuju rumahnya sambil memanggil-manggil nama ibunya. Namun yang dia dapat
lihat hanyalah mayat ibunya yang terbujur kaku di ruangan rumahnya. Hati Amir
bagai hancur menerima kenyataan ibunya telah pergi selama-lamanya
meninggalkanya keseorangan. Amir tidak dapat menahan dirinya lagi, dia meraung
sekuat hati sambil menitiskan air mata kesedihannya atas pemergian seorang
insan yang bernama ibu yang tiada tolok bandingnya di dunia ini. Jiran-jiran
tetangganya telah menenangkan Amir agar tidak meratapi pemergian ibunya. Salah
seorang dari mereka telah menyerahkan satu kotak yang berisi surat dan buku
akaun bank kepada Amir.
Amir mencapai kotak itu lalu membaca surat yang ada di
dalam kotak itu. “Anakku Amir, engkaulah
permata bersinar ibu dan ayah. Lahir mu memberi sejuta erti untuk kami berdua. Lahir
mu membawa cahaya dalam hidup kami. Walaupun engkau tidak sempat mengenali
wajah ayahmu, tidak sempat merasa kasih sayang ayahmu, namun percayalah yang
ayahmu sangat-sangat menyayangi mu nak. Kepergian ayahmu membuatkan ibu terpaksa
membesarkan mu seorang diri. Harapan yang kami bina untuk membesarkan mu
bersama-sama telah terkubur. Anakku, tiada seorang ibu pun di dunia ni yang
tidak menyayangi anaknya. Ibu memarahi mu bukan kerana benci malah itulah rasa
sayang ibu pada mu anakku. Ibu nak engkau menjadi seorang insan yang berguna.
Anakku, terima kasih kerana sempat beri ibu peluang melihat perubahan dalam
dirimu. Ibu tahu ibu takkan hidup lama lagi di dunia ini. Tiada penyesalan ibu
mengandungkan mu dan melahirkan mu ke dunia. Kerana engkau sudah menjadi anak
yang baik. Ibu memaafkan segala kesalahan mu anakku. Di sini ibu sertakan buku
akaun bank di atas nama mu. Gunalah duit ini untuk pembelajaran mu anakku. Jaga
dirimu baik-baik anakku, jaga solat dan taatlah pada perintah allah. Maafkan
ibu kerana tidak dapat menemani mu lagi. Ibu sangat-sangat menyayangimu. Salam
sayang dari ibu”. Linangan air mata Amir semakin menderas membaca surat
dari ibunya itu. Sungguh kasih seorang ibu itu tidak terhitung untuk
anak-anaknya. Walaupun kesedihan menghantui Amir akibat kejadian itu, namun
hidupnya perlu diteruskan. Kerana sesungguhnya, setiap yang hidup itu pasti
akan merasa kematian.
PENGARANG: NURBASIAH BINTI ISMAIL
NAMA PENA: CIK NUR NBI
NO. MATRIK: BC12110121